pewaris

Saban hari pelbagai cerita mengenai salah laku ke atas kanak-kanak telah diviralkan membabitkan isu rogol, liwat, pencabulan dan penganiayaan. Sedih apabila mengenangkan kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh kanak-kanak terbabit. Bukan hanya fizikal, malah emosi akan terjejas sampai bila-bila. Yang pasti kenangan yang terpaksa ditanggung oleh kanak-kanak yang menjadi mangsa akan dibawa sampai dewasa. Persoalannya, mengapa perkara ini masih tetap berlaku sedangkan pelbagai inisiatif telah dilakukan untuk mendidik masyarakat kita oleh kerajaan.

Bukan keseluruhan masyarakat kita tidak peka dengan isu ini namun masih ada yang buat-buat ‘PEKAK’ dengan masih membiarkan perkara ini berlaku. Mereka ini masih tidak sedar bahawa kanak-kanak ini akan menjadi pewaris kita kemudian hari. Pewaris kepada agama, bangsa dan negara. Rosaknya pewaris kita maka akan binasa masa depan agama, bangsa dan negara kita.

Tidak dapat disangkal bahawa, dalam arus teknologi yang serba canggih ini, faktor pengaruh keterbukaan maklumat dalam internet menyebabkan masyarakat kita sedikit sebanyak akan terdedah kepada elemen-elemen salah-laku yang menjurus kepada berlakunya jenayah terhadap kanak-kanak. Namun, sekiranya masyarakat kita terdidik dan peka dengan situasi seharusnya mereka dapat membezakan antara yang baik dan buruk.

Jika diteliti dengan statistik yang direkodkan oleh Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak, PDRM, 89% kes daripada jumlah kes  tahun  2015 hingga 2017 adalah melibatkan pesalah yan dikenali mangsa termasuk bapa sendiri. Justeru, memang dapat disimpulkan bahawa memang terdapat masyarat yang tidak peka dan tidak takut dengan undang-undang yang telah digubal.

Akta 792, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang diluluskan kerajaan pada 2017 secara jelas berupaya melindungi kanak-kanak dengan hukuman-hukuman penjara, denda dan sebatan namun, segelintir masyarakat kita seperti tidak takut dengan Undang-undang. Perlakuan mereka seakan-akan mencabar undang-undang yakni mencabar kerajaan Malaysia sendiri. Yang pasti, akan ada yang menunding jari kepada agensi kerajaan kerana tidak melaksanakan tugas dan peranan sebagaimana diamanahkan.

Fikir-fikirkan dan pandangan anda amat dialukan 🙂

Share: