ANTI LIBERAL SIRI 5: Mengapa Liberal Menjadi Pilihan Musuh Malaysia?

Doktrin liberalisme yang kelihatan positif disulami dengan pelbagai ‘nilai-nilai murni’ akan mudah kelihatan ‘mulia’ terutamanya di mata anak-anak muda yang mudah terpengaruh dengan pelbagai pemikiran Barat. Tidak dinafikan, hak asasi manusia, kesaksamaan dan kesamarataan, kebebasan bersuara, kebebasan media, kedaulatan undang-undang dan sebagainya, amat menarik minat golongan ini.

Namun, semua perkara di dunia ini memiliki had dan sempadan yang tersendiri. Tanpa had batasan dan kawalan, sesuatu perkara yang baik boleh menjadi tidak baik dan memudaratkan. Umum mengetahui bahawa minuman bergula adalah manis, sedap dan boleh memberi tenaga kepada peminumnya, namun gula yang berlebihan boleh mengundang pelbagai penyakit dan risiko kesihatan!

Liberalisme kini secara aktif disebarkan di Malaysia, dengan tajaan pihak-pihak tertentu di luar negara. Agenda mereka jelas, mahu membentuk masyarakat Malaysia yang liberal, dan menjadikan Malaysia lebih mudah dibolosi oleh mereka bukan sahaja di dalam bidang ekonomi, sempadan negara, undang-undang dan media, tetapi juga di dalam bidang sosial dan agama.

Malaysia yang liberal akan menyebabkan keruntuhan akhlak di kalangan rakyatnya. Nilai keagamaan akan ditolak, dan nilai-nilai Barat yang moden akan dipuja. Malaysia yang liberal akan menyebabkan orang-orang Melayu dan Bumiputera kehilangan hak keistimewaannya, serta Raja-Raja Melayu boleh kehilangan takhta sekiranya konsep liberal dipraktikkan secara total.

Dari segi agama, negara yang mempraktikkan amalan liberalisme tidak boleh mempunyai agama, dan setiap agama perlu dianggap sama. Sudah pasti, taraf agama Islam sebagai agama Persekutuan perlu diubah sekiranya Malaysia mempraktikkan liberalisme. Mahkamah syariah juga mungkin akan dibubarkan, atau setiap agama akan mempunyai mahkamah agama masing-masing.

Kanak-kanak pula perlu dilayani sebagai orang dewasa, dan mereka mempunyai hak untuk membuat keputusan sendiri. Ibu-bapa juga tidak boleh memukul atau menggunakan kekerasan walaupun minimum, kerana hak keselamatan diri dan fizikal anak-anak dijamin oleh fahaman liberal. Bagaimanakan anak-anak ini akan membesar tanpa didikan ibu-bapa?

Pembukaan seluas-luasnya pintu ekonomi kepada pasaran antarabangsa atas nama ‘persaingan sihat secara terbuka’ demi memenuhi nafsu fahaman liberal akan menyaksikan syarikat-syarikat berusia setahun jagung milik Malaysia ditelan oleh syarikat-syarikat gergasi luar negara yang telah beroperasi sejak ratusan tahun dahulu. Sebagai contoh, Proton sudah pasti tidak akan dapat bersaing dengan Mercedes dari segi teknologi, kepakaran dan pengalaman kerana Mercedes telah wujud sebelum era Perang Dunia Kedua lagi.

Akhirnya, amalan liberalisme secara perlahan-lahan akan merosakkan negara. Infrastruktur sosial negara akan runtuh. Infrastruktur ekonomi negara akan dikuasai oleh orang asing dan pada ketika itu, tiada apa-apa dapat dilakukan rakyat Malaysia selain melihat musuh-musuh negara mengambil kesempatan.

Idealisme liberal yang keterlaluan juga boleh menggerakkan rakyat untuk menentang sistem yang selama ini melindungi mereka. Sejarah telah menunjukkan, idealisme liberal tempatan kebiasaannya perlu disokong oleh elemen luar negara untuk berjaya, terutamanya di dalam ‘Glorious Revolution 1688’ di England dan ‘American Revolution 1765’. Di Malaysia, perjuangan Reformasi 1998 dan Perhimpunan Blackout 2013 adalah beberapa percubaan untuk membangkitkan penentangan rakyat terhadap kerajaan dengan menggunakan acuan liberalisme, tetapi gagal.

Sebenarnya, rakyat Malaysia tidak memerlukan idea liberalisme untuk hidup aman di negara ini. Rakyat Malaysia sebenarnya memerlukan kesederhanaan, dan tidak semestinya kita terlalu terbuka terhadap sesuatu perkara sehingga boleh menjejaskan daya saing dan keselamatan negara.

Ingatlah, Wawasan 2020 telah menekankan bahawa kita perlu menjadi negara maju dengan acuan dan cara kita sendiri.

Share: