Memperjuangkan apa jua falsafah dan idea yang bertentangan dengan ajaran agama Islam, Perlembagaan Malaysia serta norma-norma umum masyarakat negara ini wajar ditentang sama sekali. Pegangan agama tidak boleh dipersoalkan kerana ia adalah konsep ketuhanan (tauhid) yang jelas , tidak akan boleh digugat oleh apa jua kefahaman, idea atau falsafah.

Selagi liberalisme tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam, ia mungkin tidak akan membawa sebarang masalah. Masalah hanya timbul apabila fahaman liberalisme mahukan seseorang itu menerima nilai liberal yang bertentangan dengan agama dan norma masyarakat. Contoh paling mudah, atas nama kebebasan individu, maka Lesbian Gay Biseksual Transeksual (LGBT) harus diterima masyarakat sedangkan perkara ini jelas bertentangan dengan agama dan norma masyarakat Malaysia!

Konsep perjuangan liberal yang kononnya perlu diberikan kebebasan individu untuk keluar masuk ke mana-mana negara tanpa sekatan dan perlu dibuka seluas-luasnya peluang perniagaan antarabangsa tanpa sekatan dan monopoli, kononnya bagi memenuhi hak kebebasan individu serta hak kerjasama antarabangsa, sememangnya tidak logik dan tidak boleh digunapakai kerana ia lebih membawa keburukan berbanding faedah yang diterima.

Jika seseorang pejuang liberal tetap mahu mengaplikasikan dua perkara di atas adalah kerana ia termasuk di dalam manifesto perjuangan liberalnya, maka jelaslah dia adalah seorang individu yang bodoh!

Perancis yang terkenal sebagai negara pengasas liberalisme, masih lagi menguatkuasakan peraturan imigresen. Perancis tidak pernah membenarkan sewenang-wenangnya mana-mana individu untuk keluar masuk ke negara itu, meskipun atas nama liberalisme.

Kini, liberalisme hanya menjadi wadah negara-negara Barat untuk meracuni pemikiran negara ketiga, melalui proses ‘Liberal Westernization’ yang akan menguntungkan mereka. Itulah sebabnya negara-negara asing begitu berminat membiayai gerakan-gerakan liberalisme di sesebuah negara, dengan harapan mereka akan mendapat faedahnya kelak.

Di Malaysia, secara jelas dan terbuka ‘Friedrich Naumann Foundation for Free Society’, sebuah organisasi daripada Jerman yang menyokong penyebaran fahaman liberal secara terancang telah membuat sumbangan berjumlah RM262,030 kepada sebuah organisasi liberal di Malaysia.

Tidak terkecuali, sebuah pertubuhan antarabangsa ‘Network for A Free Society’ turut menyumbang sebanyak RM147,128 kepada organisasi liberal Malaysia yang sama. Kerajaan British juga dilihat mempunyai minat mendalam terhadap organisasi liberal ini, apabila turut memberi sumbangan sebanyak RM779,958. Itu belum dikira sumbangan daripada National Endownment for Democracy (NED), badan-badan kebajikan antarabangsa, dan individu-individu yang memberi sumbangan persendirian.

Dana-dana asing ini telah digunakan untuk membiayai aktiviti penyebaran fahaman liberalisme di Malaysia, melalui aktiviti seperti seminar, penyebaran bahan bacaan, kajian, media sosial dan lain-lain.

Harus diingat, Revolusi Perancis bermula dengan cara yang sama. Kegagalan King Louis XIV mengawal penyebaran idea baru dan radikal, telah menyebabkan runtuhnya sistem monarki Perancis. Kerajaan seharusnya memperkenalkan peraturan khusus bagi mengekang penyaluran dana asing yang jelas mempromosikan fahaman yang bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia.

Share: