ANTI LIBERAL SIRI 3: Liberalisme dan Penyebaran Idea Melalui Peperangan

Meskipun punca sebenar kejatuhan King Louis XIV di dalam Revolusi Perancis masih diperdebat dan tidak dapat dipastikan, ahli sosiologi Jerman Jürgen Habermas telah memperkenalkan sebuah teori yang digelar sebagai ‘Public Sphere’. Teori ini menerangkan bagaimana idea liberalisme telah menjadi penggerak revolusi yang menyebabkan kejatuhan sistem monarki Perancis.

Komponen penting di dalam teori ‘Public Sphere’ ini adalah suratkhabar, jurnal, masonic lodges, kedai kopi dan kelab membaca di mana idea-idea baru dan radikal diperdebat dan dibincangkan. Kerajaan juga dilihat lemah dalam mengekang perkembangan idea-idea baru dan lemah di dalam mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan semasa. Faktor-faktor lain seperti pemerintahan mutlak raja, ketidakpuasan hati golongan buruh dan kelas bawahan terhadap golongan bangsawan, kerisauan rakyat terhadap Gereja Katolik yang amat berpengaruh, telah melahirkan idea-idea liberalisme di kalangan rakyat seperti kesaksamaan antara setiap individu, kebebasan beragama, keadilan dalam politik, sosial dan ekonomi dan banyak lagi.

Hubungan baik di antara Kerajaan Perancis dan Austria juga mengundang kebencian rakyat, lebih-lebih lagi apabila terdapat desas-desus bahawa Permaisuri Marie-Antoinette adalah perisik Austria. Akhirnya, fenomena yang tidak terkawal ini telah membangkitkan penentangan rakyat melalui Revolusi Perancis yang cukup terkenal.

“Liberty, Fraternity and Equality” menjadi cogankata penting Revolusi Perancis. Kerajaan dilihat sebagai ‘musuh’ dan ahli revolusi Perancis mahu ‘membebaskan’ rakan-rakan mereka di negara lain. Inilah asas kepada penyebaran liberalisme dan idea inilah yang mula disebarkan Perancis ke negara-negara Eropah lain seperti Belgium, Italy, Belanda, Sepanyol dan Prussia.

Percubaan gerakan liberalisme ini untuk bertapak di England telah menyebabkan tercetusnya peperangan di antara England dan kerajaan liberal baru di Perancis, dan menyebabkan negara-negara Eropah lain untuk turut serta di dalam peperangan berkenaan.

Hari ini, fahaman liberalisme masih kekal dan telah disebarkan hampir ke seluruh dunia. Di peringkat antarabangsa, penyebaran liberalisme didokong oleh beberapa pertubuhan antarabangsa seperti Friedrich Naumann Foundation for Freedom, Network for a Free Society, Liberal International dan banyak lagi.

Sejarah telah membuktikan bahawa idea liberalisme mendorong kepada penggulingan kerajaan semasa, dan penyebaran yang dilakukan boleh menyebabkan pertumpahan darah, terutamanya jika tidak dikawal oleh pihak kerajaan. Semoga Malaysia dilindungi daripada anasir-anasir liberal yang mahu menjatuhkan kerajaan dengan pelbagai cara.

Share: