Berdasarkan sejarah, falsafah Liberalisme sebenarnya telah digunakan untuk menghalalkan tindakan bersenjata dalam menggulingkan kerajaan semasa. Di dalam Glorious Revolution di England pada tahun 1688, sifat toleransi antara agama yang diamalkan King James II telah meningkatkan ketegangan di antara penganut Kristian Protestan dan Kristian Katolik. Tidak berpuas hati dengan keadaan ini, pejuang liberal membawa masuk angkatan tentera Belanda ke England menyebabkan King James II digulingkan dan digantikan oleh William III of England dan isterinya Mary II of England.

Falsafah liberalism dan republikanisme juga telah mencetuskan American Revolution pada tahun 1775-1783. Liberalisme telah menyuburkan sifat penentangan yang menebal terhadap sistem ‘beraja’ British dan budaya aristokratnya. Atas alasan ‘semua orang adalah sama’ dan ‘hak asasi sebagai orang Inggeris’, koloni-koloni British di Amerika telah menolak kepatuhan terhadap Kerajaan Beraja British dan seterusnya mengisytiharkan kemerdekaan. Tindakan perisytiharan kemerdekaan yang disokong oleh sekutu asing dari Perancis, Sepanyol dan Belanda ini telah membawa kepada berlakunya Perang Revolusi di antara koloni pemberontak liberal (Patriot) dan koloni yang setia kepada British (loyalist) di Amerika.

Tidak cukup dengan dua revolusi di atas, falsafah liberalisme sekali lagi mencatat sejarah apabila ia telah mencetuskan Revolusi Perancis pada tahun 1792. Kali ini, idea liberal dan idea radikal telah bergabung, tekanan terhadap rakyat melalui sistem percukaian serta ketidaksamaan sosial dan ekonomi secara melampau telah mencetus pemberontakan yang menyebabkan sistem pemerintahan beraja Perancis dimansuhkan. Sebagai ganti, sistem pemerintahan demokratik telah digunapakai. Selain itu, Revolusi Perancis ini juga telah menghapuskan sistem feudal tradisional, memansuhkan gelaran bangsawan berdasarkan keturunan, serta pelbagai lagi yang akhirnya membawa kepada lahirnya konsep ‘hak asasi manusia’.

Berdasarkan sejarah-sejarah di atas, falsafah liberalisme dilihat telah menjadi pendorong kepada berlakunya penggulingan sesuatu kerajaan dan pemberontakan. Penggulingan kerajaan dan pemberontakan ini juga dilakukan oleh pejuang liberal melalui sokongan yang diterima daripada negara asing, yang bertindak sebagai sekutu pada ketika itu.

Untuk menjatuhkan sesebuah negara yang berdaulat tanpa peperangan, ia perlu dilakukan daripada dalam negara itu sendiri. Bagi menyemarakkan penentangan, idea-idea liberal perlu disebarkan dan digunapakai bagi menggerakkan usaha dan tindakan seperti yang dikehendaki oleh sesetengah pihak.

Tidak syak lagi, platform liberalisme boleh menjadi point penting dalam usaha menjatuhkan sesebuah kerajaan semasa yang berdaulat.

Share: