ANTI LIBERAL SIRI I: Falsafah Liberalisme Bertentangan Dengan Perlembagaan Malaysia

Usaha beberapa pertubuhan bukan kerajaan untuk menyebarkan fahaman liberal di Malaysia, dilihat semakin aktif akhir-akhir ini. Tidak cukup dengan sebaran artikel ‘Can liberalism save Malaysia?’ pada 13 September 2016, mereka menganjurkan pula ‘Liberalism Conference’ pada 24 September 2016 di Pullman Hotel, Bangsar, Kuala Lumpur.

Tidak cukup dengan itu, pertubuhan pro-liberal ini menganjurkan ‘Masterclasses on liberalism in Kedah and Klang Valley’ melalui ‘Sekolah Pemikir Jalanan’ dan ‘Sekolah Pencerahan’ untuk menyuntik benih-benih pemikiran liberal di kalangan rakyat Malaysia. Pada Mac 2017 pula, mereka menjalankan kajian mengenai liberalism ke atas lebih kurang 1200 orang responden dan mengumumkan dapatan kajian itu sebagai pandangan rakyat Malaysia yang berjumlah 31.7 juta orang. Cukupkah bilangan responden seramai 1200 orang itu bagi membayangkan ia adalah pendapat bagi seluruh rakyat Malaysia?

Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan ini secara terbuka mempromosikan pemikiran liberal. Dalam usaha menyuntik fahaman liberal kepada kumpulan sasaran, terdapat tiga hujah utama yang sering digunakan untuk mengukuhkan tapak liberalisme di negara ini. Pertama, mereka menegaskan bahawa Tunku Abdul Rahman telah membentuk negara ini di bawah asas liberal pada 1957 dan 1963. Kedua Rukunegara kononnya dikatakan sebagai pelaksanaan konsep liberal yang telah sedia wujud di negara ini dan ketiga, Wawasan 2020 turut direkacipta atas dasar liberal. Maka, atas tiga sebab utama ini, seseorang itu perlu menerima bahawa liberalism telah sedia ada bertapak di Malaysia sejak dahulu-kala dan ia perlu digunapakai pada hari ini.

Ingatlah, negara ini dibentuk daripada perlembagaan dan Perlembagaan Malaysia telah secara jelas menyatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, hak dan keistimewaan orang Melayu dan kaum peribumi lain perlu dipelihara tanpa menjejas dan menafikan hak kaum-kaum lain, serta negara diperintah melalui konsep Raja Berperlembagaan.

Menurut Wikipedia, liberalisme adalah falsafah politik atau pandangan yang berasaskan kepada kebebasan dan kesaksamaan. Liberalisme juga secara keseluruhannya tidak menerima dan menolak empat perkara utama, iaitu konsep Keistimewaan Secara Warisan (hereditary privilage), Agama kepada Negara (state religion), pemerintahan Monarki Mutlak (absolute monarchy) dan Hak Ketuhanan pada Raja (Divine Right of Kings). Disinilah bertembungnya fahaman liberalisme dengan Perlembagaan Malaysia, terutamanya apabila liberalisme itu menolak ‘Hereditary Privilage’ dan ‘State Religion’.

Jelas, konsep falsafah liberalisme sebenarnya bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia!
Share: