Ibu-Bapa Perlu Main Peranan Cegah Pengembangan Kongsi Gelap

Kumpulan kongsi gelap yang popular dan tidak asing lagi di Malaysia ialah Geng 18, Geng 36 (Baju Merah), Geng 24, Geng 30 (Baju Putih) dan Geng Double Seven (Geng 77). Kesemua geng ini mempunyai pemimpin mereka sendiri, dan antara yang popular ialah arwah Ayahanda Pak Long Burung, Ayah Gan, Ayah Pak, Ayah Jebat, Ayahanda Malik Ranting, Ayah Syed Husin, dan ramai lagi. Ada juga di kalangan mereka menubuhkan kongsi gelap dengan doktrin perjuangan yang diselindungkan di sebalik pertubuhan bukan kerajaan. Ramai di kalangan pengikut mereka terdiri daripada golongan pelajar universiti, pekerja swasta, sebilangan kecil penjawat awam (termasuklah anggota keselamatan yang membuat pemantauan) serta peniaga.

Tindakan beberapa orang pelajar sekolah menganjurkan majlis merakan kumpulan kongsi gelap di hadapan perkarangan sebuah sekolah baru-baru ini adalah perbuatan yang amat tidak boleh diterima. Mujurlah dengan tindakan tegas pihak berkuasa, individu yang bertanggungjawab telah ditahan dan kini bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.

Kongsi gelap juga tidak dapat lari dari kebiasaan mereka, iaitu mengadakan ritual dalam acara-acara tertentu. Untuk ‘mengesahkan’ penyertaan seseorang ke dalam sesebuah kumpulan, kebiasaannya mereka perlu menjalani upacara angkat sumpah melalui pelbagai jenis ritual berbeza (mengikut kumpulan masing-masing), seperti mengangkat sumpah dengan menggunakan colok, mengumpulkan darah setiap orang dan kemudiannya diminum, mengangkat sumpah dalam keadaan senjata diletakkan di kepala dan leher, dan banyak lagi. Malah, pernah berlaku kematian di dalam sebuah upacara angkat sumpah ini, apabila pistol yang diletakkan di kepala ahli baru meletup, membunuhnya serta-merta dan ketua kumpulan kongsi gelap berkenaan dikenakan hukuman penjara berpuluh tahun!

Sudah pasti, kongsi gelap adalah sesuatu yang perlu dielakkan oleh pelajar-pelajar sekolah. Amalan serta budaya kumpulan-kumpulan ini amat bertentangan dengan budaya dan amalan yang sepatutnya diamalkan oleh pelajar sekolah. Budaya samseng, berpuak-puak dan agresif sudah pasti akan mempengaruhi pelajar-pelajar yang menyertai kumpulan ini, dan boleh memberi impak negatif kepada sekolah dan pelajar-pelajar yang lain. Jika tidak dibendung, situasi ini boleh mendorong kepada peningkatan jenayah serta salah laku di kalangan pelajar sekolah.

Ibu-bapa serta masyarakat umum perlu memainkan peranan penting di dalam mengekang gejala ini, dan tidak menyerahkan usaha pencegahannya hanya kepada pihak berkuasa dan kerajaan.

Share: