Kuala Lumpur: Anggota dan pegawai tentera perlu melengkapkan diri dengan ilmu akademik tinggi selain pengetahuan ketenteraan berikutan peperangan dijangka berlaku dalam pelbagai dimensi.

Pengerusi Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Senator Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, ilmu akademik dan ketenteraan adalah mustahak bagi anggota serta pegawai tentera bagi memastikan mereka mampu menghadapi sebarang cabaran mendatang.

Katanya, peperangan berkemungkinan tidak lagi menjurus kepada penggunaan persenjataan konvensional semata-mata tetapi membabitkan sistem yang canggih dan moden ketika ini.

“Kita harus mempunyai tentera yang ada ilmu pengetahuan yang tinggi. Kalau dulu, kami melatih anggota supaya mahir menggunakan alat-alat ketenteraan. Tetapi sekarang kita melatih serta mempertingkatkan minda berfikir dan rasionalisasi sesuai sebagai persediaan bagi anggota untuk menghadapi senario peperangan baru.

“Aspirasi Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak pada tahun 2006 yang ketika itu menyandang jawatan sebagai Menteri Pertahanan mengarahkan Akademi Tentera dinaik taraf kepada status universiti adalah satu tindakan tepat.

“Kewujudan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang kini berusia hampir 10 tahun ini jelas menunjukkan kami mahu melahirkan pemimpin intelektual,” katanya pada sesi dialog Program Advokasi Ilmuan UPNM, di Sungai Besi di sini, semalam.

Sesi dialog bertajuk Benteng Pertahanan Negara: Ilmu Akademik atau Ketenteraan? membincangkan kepentingan ilmu akademik dan ketenteraan yangsignifikan dengan peranan UPNM sebagai satu-satunya Universiti Awam di Malaysia menawarkan kombinasi unik antara pengajian akademik dan latihan ketenteraan kepada penuntutnya.

 

Sumber : Harian Metro
Share: