Setelah ditahan polis dan disiasat oleh penguatkuasa agama, “Raja Bomoh Dunia”, Ibrahim Mat Zin yang terkenal dengan ritual teropong buluh bagi mencari pesawat MH370 dan ritual meriam buluh bagi melindungi Malaysia dari ancaman Korea Utara, semalam membuat pengakuan bahawa segala perbuatannya sebelum ini adalah bersifat pembohongan semata-mata. Beliau turut mengakui, segala perbuatan beliau dilakukan atas arahan ‘seseorang’ yang tidak dapat beliau dedahkan.

Pendedahan ini amat memeranjatkan kerana perbuatan membodohkan agama Islam oleh Ibrahim Mat Zin ini, jelas dilakukan dibawah arahan dan manipulasi ‘seseorang’. Akhir-akhir ini, berlaku pelbagai perkara dan insiden berkaitan agama Islam, yang dipercayai dilakukan dengan niat jahat untuk mencalarkan imej agama ini dan dilihat memperbodohkan Malaysia di mata dunia.

Perkara sebegini tidak seharusnya dibiarkan begitu sahaja. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab harus menyiasat lanjut tindakan pihak yang memperalatkan Ibrahim Mat Zin ini agar perkara sebegini yang mencalarkan nama baik negara tidak berulang kemudian hari. Individu yang bertanggungjawab di belakang Ibrahim pastinya mempunyai objektif dan kepentingan tersendiri dalam mengeluarkan arahan sedemikian. Jika dibiarkan, tidak mustahil arahan yang serupa akan dikeluarkan kepada individu lain untuk tujuan tertentu.

Adakah selain dari Raja Bomoh Dunia ini, insiden demi insiden yang berlaku, seperti kehilangan pesawat MH370, insiden pesawat MH17, gesaan untuk mengubah agama Persekutuan di dalam Perlembagaan, dakwaan bahawa tuhan wujud dari getaran dan tenaga manusia, kehilangan Pastor Raymond Koh dan empat yang lain, serta lain-lain insiden sebenarnya juga dirancang pihak tertentu untuk memburukkan kerajaan yang memerintah dan dalam masa yang sama bertujuan untuk menimbulkan huru-hara serta ketegangan di dalam negara? Apa yang pasti semua ini tidak memberikan faedah kepada negara. Rakyat Malaysia pastinya bijak dalam menentukan kebenaran pada persepsi-persepsi yang ditimbulkan ini…

Share: