Lawatan Menteri Pertahanan Kanada Perkukuhkan Hubungan Dua Hala Malaysia – Kanada

Sejarah panjang hubungan erat dan mesra antara Malaysia dan Kanada mencakupi bidang politik, ekonomi, perdagangan, sosial dan kebudayaan sememangnya telah wujud sejak 1957 lagi. Sehubungan dengan lawatan oleh Menteri Pertahanan Kanada Harjit Singh Sajjan yang bermula dari 24 hingga 26 April 2017 merupakan simbolik dalam memperingati ulang tahun ke-60 hubungan Kanada-Malaysia, selain daripada ulang tahun ke-150 Konfederasi Kanada.

Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysian, Randolph Mank juga menjelaskan bahawa Kanada akan terus memperkukuhkan hubungan antara dua negara khususnya dalam aspek hubungan strategik dan ketenteraan khususnya kedudukan Kanada sebagai satu rakan dagang dan pelaburan dua hala yang penting untuk Malaysia. Lawatan Menteri Pertahanan Kanada juga bersempena persinggahan dua kapal frigat Tentera Laut Diraja Kanada, HMCS Ottawa dan Winnipeg, di Pelabuhan Klang.

Ketibaan Menteri Pertahanan Kanada Harjit Singh Sajjan di KLIA sempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia disambut oleh tim Kementerian Pertahanan

Kehadiran Menteri Pertahanan Kanada jelas menunjukkan bahawa Malaysia masih relevan dalam memupuk persefahaman serta mempertingkatkan hubu¬ngan dan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang. Aspek sebegini adalah penting dalam usaha memastikan Malaysia mempunyai hubungan dan kerjasama positif dengan negara-negara sahabat.

Jika kita lihat, antara aspek utama yang menjadi tumpuan semasa pertemuan ini adalah isu berkaitan kerjasama dalam menentang ancaman Daesh. Ini terutamanya berkaitan pejuang asing yang pulang ke negara masing-masing setelah berjuang di Iraq dan Syria. Isu ini sememangnya menjadi fokus yang penting kerana pejuang asing akan membawa ideologi Daesh ini pulang dan seterusnya menimbulkan ancaman yang besar.

Kita seharusnya terus menyokong inisiatif kerajaan dalam mewujudkan kerjasama strategik sebegini dalam usaha memastikan negara kita tidak ketinggalan dan tidak berjuang berseorangan dalam menentang ancaman-ancaman daripada luar. Masih wujud pandangan negatif daripada pihak-pihak tertentu yang mendakwa sesetengah kerjasama ketenteraan sebegini hanyalah untuk kepentingan peribadi pemimpin negara. Ini terutamanya daripada hasil yang diperolehi menerusi pembelian kelengkapan ketenteraan dan sebagainya. Persepsi sebegini haruslah ditolak dan dihapuskan kerana ianya hanya akan menimbulkan fitnah yang tidak berkesudahan.
Share: