Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Bukan Dasar Ekonomi Melayu

DEB telah diperkenalkan pada awal 70-an bertujuan menghapuskan pengenalan etnik berdasarkan fungsi-fungsi ekonomi. DEB juga tidak tertumpu untuk memajukan kaum Melayu sahaja. Jika DEB tidak dilaksanakan, kaum keturunan pendatang seperti orang Cina dan India tidak akan dapat menikmati kehidupan selesa seperti hari ini. Malah, banyak kajian menunjukkan yang hasil DEB sebenarnya telah dinikmati oleh semua kaum di Malaysia dan bukan hanya orang Melayu.

Kejayaan DEB menghapuskan pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi ini menyebabkan orang-orang Cina kini ada yang telah bekerja di sektor kerajaan, ada yang menceburi bidang pertanian dan mereka tidak terhad bekerja sebagai pelombong timah dan peniaga semata-mata. Usaha kerajaan membanteras dadah juga membantu mengatasi masalah ketagihan candu di lombong-lombong timah serta di kalangan ahli kongsi gelap Cina, suatu ketika dahulu.

DEB juga berjaya menghapuskan identiti estet getah, dan budaya kuli-kerja berat di kalangan masyarakat India. Jika dahulunya kaum India ini banyak bekerja di ladang getah, serta bahagian kerja berat di Jabatan Kerja Raya dan Keretapi Tanah Melayu, kini ramai yang sudah berjaya menjadi peguam, doktor, guru dan peniaga. Malah, ramai kaum India di Malaysia menceburi bidang pekerjaan professional.

Kita tidak perlu malu menyebut tentang sejarah. Sejarah kedatangan kaum Cina dan India sememangnya telah tercatit sebegitu. Malah, penguasaan Melayu di Semenanjung Emas ini turut mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Pelbagai perbincangan telah dilakukan dalam perkara berkaitan DEB ini dan para akademik kebanyakannya memberikan pandangan yang positif. Namun, wujud juga golongan yang masih mempertikaikan DEB ini terutama dalam isu ketidakadilan. Persepsi sebegini dilihat lebih bersifat peribadi dan mempunyai agenda tersendiri.

Sejarah DEB menunjukkan, bukan Melayu turut menerima faedah daripada pelaksanaan Dasar Kerajaan ini, dan tidak perlulah ia dilabel dan dimomokkan sebagai ‘pakej kerajaan’ untuk membantu Melayu. Kerajaan Malaysia adalah kerajaan untuk semua bangsa dan bukan untuk Orang Melayu sahaja.

Share: