APMM Tahan Lapan Nelayan Vietnam

Kota Kinabalu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lapan awak-awak warga Vietnam selepas mendapati permit kerja mereka sudah tamat tempoh ketika menangkap ikan di 0.5 batu nautika dari Tanjung Logong, Pulau Gaya, di sini, 8.20 malam tadi.

Pengarah APMM Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, sepasukan anggota APMM yang sedang menjalankan Op Sejahtera menahan dan memeriksa sebuah bot tempatan.

“Hasil pemeriksaan didapati permit kerja semua awak-awak itu tamat tempoh pada 30 Disember tahun lalu,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati lesen bot itu juga tamat tempoh pada 30 Disember tahun lalu.

“Bot dan lapan awak-awak bersama ikan seberat 200 kilogram (kg) dan ikan kering 50 kg diiring ke jeti APMM Sepanggar untuk siasatan lanjut

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu lesen vesel tamat tempoh dan menggunakan pekerja asing tamat permit kerja.

“Selain itu juga, bot nelayan itu juga melanggar syarat lesen kerana memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak sah,” katanya.

Adam berkata, APMM memandang serius isu itu dan akan melakukan pemeriksaan yang lebih kerap lagi.

 

Sumber : Berita Harian

Share: