Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebelum ini telah diisytiharkan sebagai Yang Di-Pertuan Agong pada 12 Disember 2016 dan tidak lama lagi, Malaysia akan menyaksikan pertabalan baginda sebagai Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Ke-15 pada 24 April 2017 kelak. Peristiwa ini akan menjadi suatu lembaran penting di dalam catatan sejarah Raja Berperlembagaan di Malaysia. Baginda telah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-243 (Khas) pada Oktober 2016.

Namun, di dalam kesibukan kita di dalam menyambut istiadat pertabalan ini, wujud pihak-pihak tertentu yang berani dan biadap dengan mempertikaikan kedaulatan institusi beraja di Malaysia. Selain itu, mereka turut mempertikaikan peranan yang dimainkan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu yang lain sebagai Ketua Agama Islam. Tiada apa yang lebih menyedihkan, selain dari melihat kebiadapan di atas dilakukan oleh seorang hamba raja yang berbangsa Melayu.

Tindakan ini telah membuka ruang dan peluang kepada musuh-musuh Melayu dan agama Islam untuk terus merendah-rendahkan martabat institusi beraja dan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan. Kedua-dua perkara yang dijamin oleh Perlembagaan ini, sama sekali tidak boleh dimusnahkan daripada luaran, melainkan ia diserang dan dilemahkan daripada dalam melalui tindakan-tindakan oleh pengkhianat dan petualang terhadap Perlembagaan Malaysia.

Yang Di-Pertuan Agong (1957 – 2016)

Sebagai orang Melayu Islam, kita tidak boleh berdiam diri dan kita perlu mempertingkatkan jati diri di dalam mempertahankan kedaulatan institusi beraja dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi. Tindakan provokatif berterusan pengkhianat-pengkhianat ini sudah pasti akan mengundang tindak balas mengerikan yang tidak mahu dilihat oleh sesiapapun pada masa hadapan.

Masyarakat terutamanya orang Melayu harus berfikir panjang dan rasional dalam isu melibatkan Raja-Raja Melayu. Jangan kerana disebabkan oleh kepentingan peribadi kita sanggup bersekongkol dalam mempertikaikan keistimewaan serta kedaulatan yang dinikmati golongan ini. Lebih buruk lagi jikalau isu berkaitan Agama Islam di persendakan.

Nampak jelas agenda sebegini hanyalah bertujuan untuk membangkitkan kemarahan dan memecahbelahkan orang Melayu. Namun, sebagai rakyat Malaysia yang benar-benar patriotik dan cintakan Negara, senario sebegini hanyalah ujian yang hanya akan memperkukuhkan lagi jati diri dan semangat cintakan negara.

Raja dan rakyat berpisah tiada.

Daulat Tuanku!

Share: