Sindiket Penipuan Forex RM80j Tumpas

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menahan enam individu yang mendalangi aktiviti penipuan skim pelaburan pertukaran mata wang asing (forex) membabitkan nilai kerugian mencecah RM80 juta. Kesemua suspek termasuk seorang wanita berusia antara 28 hingga 38 tahun itu ditahan menerusi Operasi Nuri 3/17 dalam serbuan di beberapa lokasi berasingan di Kuala Lumpur, Pahang dan Selangor, semalam.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya menerima 408 laporan polis berkenaan skim pelaburan berkenaan yang dikendalikan sebuah syarikat dikenali sebagai Syarikat VenusFX. “Berdasarkan siasatan yang dijalankan, kita mendapati syarikat ini memperdaya mangsa untuk membuat pelaburan forex yang hakikatnya tidak wujud. “Setiap pelabur dikehendaki membuat pelaburan minimum sebanyak RM2,000 sehingga maksimum RM40,000 dan pembayaran keuntungan dibuat secara harian. Bagaimanapun, mangsa tidak menerima keuntungan yang dijanjikan setelah membuat pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, siasatan mendapati kira-kira 23,259 pelabur menjadi mangsa penipuan skim pelaburan ini dengan anggaran kerugian mencecah RM80 juta. “Selain tangkapan, kita turut merampas satu unit komputer riba, 10 buah telefon bimbit pelbagai jenama, 10 keping kad pengeluaran wang (ATM) dan lima buah kenderaan dengan nilai kesemua rampasan dianggarkan RM750,000. “Kesemua suspek kini direman selama 21 hari untuk siasatan di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 Pindaan 2014 (Akta 297),” kata Acryl Sani lagi.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah menjadi mangsa penipuan sekiranya ditawarkan bentuk pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa yang singkat. “Jika ada terima tawaran sebegitu, segera buat semakan dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan bagi memastikan kesahihan pelaburan sekali gus mengelakkan menjadi mangsa sindiket penipuan,” kata beliau.

Sumber : Berita Harian

Share: