Kru KD Perantau Masih Belum Ditemui

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang anak kapal KD Perantau yang dilaporkan jatuh ke dalam laut di luar Bintulu di Sarawak pada hari Isnin.

Komander Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob menafikan mesej yang menjadi tular di Facebook dan WhatsApp sejak Isnin lalu yang mengatakan bahawa anak-anak kapal kononnya dijumpai tidur di bahagian kapal.

“Mesej itu tidak benar, saya sendiri telah membaca mesej tersebut. Individu yang menyebarkan mesej itu tidak menjaga sensitiviti keluarga mangsa,” katanya lagi.

Abdul Rahman berkata anak-anak kapal telah mencari di setiap bahagian kapal itu sebelum mengumumkan seorang anak kapal telah hilang.

Menurutnya lagi, beberapa pangkalan TLDM termasuk pangkalan TLDM Kota Kinabalu juga telah mengadakan solat hajat bagi memastikan operasi pencarian berjalan dengan lancar.

“Setakat ini kita membuat pencarian di tempat dilaporkan kru tersebut disyaki terjatuh dan membahagikan sektor-sektor pencarian mengikut perkiraan faktor arah angin dan arus laut sebagainya,” katanya sambil menambah cuaca di lokasi pencarian dalam keadaan baik.

Beberapa aset turut digerakkan untuk pencarian hari ini termasuklah KD Selangor, KD Perantau, KD Serang dan MV Mega Bakti, katanya.

Semalam, akhbar tempatan melaporkan anggota terbabit disedari hilang selepas tidak hadir ke perbarisan wajib rutin harian kira-kira pukul 9 pagi semalam dan kali terakhir dilihat berada di bilik rehat kapal itu pada jam 7.15 pagi ketika dalam pelayaran pulang ke Pangkalan TLDM Lumut dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar.

KD Perantau yang membawa kira-kira 80 anak kapal berada di Sabah dan Sarawak selama enam hari selepas melaksanakan ujian penerimaan sistem pengukuran hidrografi.

Share: