Mempertahankan Sabah Komitmen Pimpinan Tertinggi Negara

ESSZONE

Demi memelihara keselamatan dan memperkukuh pertahanan negara di Sabah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada hari ini (17 April 2017) telah mempengerusikan mesyuarat kali pertama Lembaga Penasihat Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE). Mesyuarat ini dipengerusikan secara bersama dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan turut disertai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Imigresen, Ketua Pengarah Kastam, Ketua Pengarah APMM, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, dan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Usaha berterusan secara praktikal sebegini wajar diteruskan, terutamanya dalam mengatasi masalah dan meningkatkan keberkesanan antara agensi di Sabah. Dalam isu pertahanan negara, semua pihak perlu bekerjasama dengan penuh komitmen demi memastikan keselamatan rakyat Sabah dan Malaysia terus terpelihara.

ESSCOM sering menjadi punching-bag dan modal politik murahan sesetengah pihak, sedangkan apa yang diperlukan negara pada saat ini adalah tindakan nyata secara terancang dan tersusun, dan setiap permasalahan diatasi secara bijaksana.

‘Kenyataan media murahan’ mengenai ESSCOM tidak akan pernah membawa kebaikan, malah ia mungkin menjadi sumber rujukan musuh dalam mengenalpasti kelemahan negara. Adakalanya, sesuatu perkara lebih baik didiamkan, atau diselesaikan dengan menggunakan saluran dalaman.

Kita tidak harus melupakan musuh di luar sana yang sentiasa bersedia untuk menceroboh dan merobek maruah negara pada bila-bila masa. Apabila serangan musuh berlaku, sebarang kenyataan media terhadap ESSCOM sudah tidak bermakna lagi, dan yang akan menjadi mangsanya adalah perwira-perwira negara kita, Malaysia.

Share: