Ancaman Keselamatan: Apa Perlu Kita Tahu?

Sebagai rakyat Malaysia, apabila bercerita mengenai tanggungjawab terhadap negara kita semua seharusnya tidak terkecuali dan harus memahami aspek ancaman yang wujud dan mampu mengugat keselamatan serta keamanan negara. Kita harus sedar bahawa ancaman terbahagi kepada dua iaitu tradisional yang melibatkan ketenteraan dua negara dan satu lagi adalah ancaman bukan tradisional yang kompleks dan sukar ditangani tanpa pemahaman yang jelas tentang ancaman itu sendiri.

Ancaman bukan tradisional melibatkan ancaman berkaitan politik, sosial dan ekonomi. Ancaman sebegini berlaku tanpa kita sedar dan sebagai contoh aktiviti penyeludupan rentas sempadan jika berlaku akan memberikan ruang untuk berlakunya ancaman terrorisme sekiranya melibatkan sejata api dan penganas. Kemasukan dadah ke dalam negara juga akan memberikan ancaman terhadap kerosakan jati diri anak bangsa.

Namun, dalam kepesatan teknologi kita juga harus sedar bahawa media sosial juga boleh digunakan untuk mengancam negara melalui penyebaran ideologi yang ekstrem dan radikal, bahkan ia berpotensi mempengaruhi masyarakat sekeliling kepada tindakan yang melampaui batas termasuklah berbentuk provokasi, ugutan, keganasan, penculikan, penderaan, rampasan, pengeboman, pembunuhan dan sebagainya.

Jelas bahawa pengetahuan dan pemahaman berkenaan ancaman perlu ada dalam setiap rakyat Malaysia kerana kita harus ingat bahawa anasir yang cuba menjatuhkan imej negara atau berkepentingan sentiasa menunggu peluang atas kesilapan kita semua.

Kita seharusnya bertanggungjawab melaksanakan aspirasi kerajaan untuk MEMERDEKAKAN negara ini daripada sebarang belenggu yang berupaya mengancam keselamatan. Kita juga seharusnya tidak taksub kepada mana-mana pihak sehingga hilang pertimbangan dan gagal membezakan antara simpati dan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Akhirnya, kita jua harus mengelakkan diri daripada menjadi “gunting dalam lipatan” atau “musuh dalam selimut” yang boleh mengadaikan keselamatan negara.

Share: