Kemudahan bangunan dan prasarana serba moden di Pangkalan Udara Sendayan, Negeri Sembilan bukan sahaja menyediakan persekitaran kerja baharu untuk warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), malah ia sekali gus menyelesaikan beberapa masalah ketidakselesaan yang dialami sejak kebelakangan ini di Pangkalan Udara Kuala Lumpur.

Yang pastinya, masalah seperti kekurangan kemudahan kuarters kediaman mereka akan selesai dengan penyediaan 693 unit kuarters pelbagai kategori untuk pegawai dan anggota di tempat baharu itu, yang terletak 12km dari bandar Seremban.

 Sebelum ini tidak semua pegawai dan anggota TUDM, khususnya yang berkeluarga dapat tinggal di kuarters kerana jumlah unit yang terhad sehingga memaksa sebahagian daripada mereka untuk mencari kediaman di luar.

“Pangkalan udara ini (Pangkalan Udara Kuala Lumpur) sudah mencecah usia lebih 60 tahun. Jadi bangunan dan infrastruktur di sini sudah lama dan tidak ekonomi untuk diperbaiki selain mengalami masalah bekalan air,” katanya dalam temu ramah dengan Bernama di sini.

Mohd Shahada berkata, perpindahan ke Sendayan yang dijadualkan pada akhir tahun ini sudah tentu akan memberi lebih banyak keselesaan pada warga TUDM di Pangkalan Udara Kuala Lumpur itu.

Pangkalan Udara Sendayan di kawasan seluas 303.5 hektar, yang kini dalam peringkat akhir pembinaannya, bakal menjadi pusat latihan profesional terbesar negara untuk pegawai dan anggota TUDM.

Keselesaan pegawai, anggota

Sejumlah 693 unit kuarters kediaman yang dibina di kawasan itu termasuklah jenis banglo, berkembar dua dan pangsapuri dengan kemudahan infrastruktur dan riadah yang serba lengkap.

Ia termasuklah kompleks sukan, padang golf (9 lubang), kelab ekuestrian, kolam renang dan pusat Islam.

Sebagai seorang ketua pangkalan, Mohd Shahada berkata beliau sentiasa berusaha untuk mencapai objektif 3K yang ditetapkan kepada pegawai dan anggota iaitu kesiagaan, keselamatan dan kesejahteraan supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih efisien.

“Alhamdulillah, kesemua 3K ini akan dapat dipenuhi di Sendayan,” katanya sambil menjelaskan bahawa kesejahteraan yang beliau maksudkan ialah tempat kerja, rumah dan kemudahan asas yang selesa.

Mohd Shahada berkata, meskipun sedih untuk meninggalkan Pangkalan Udara Kuala Lumpur, beliau dan warga TUDM lain akur dengan rancangan penyusunan semula pangkalan udara itu, yang akan dibangunkan menjadi Bandar Malaysia.

“Nilai sentimental memang ada di tempat sekarang. Namun kita tidak boleh berfikir mengenai nilai sentimental sahaja kerana masa depan generasi TUDM dan TUDM sendiri harus berkembang maju,” katanya, yang telah berkhidmat di Pangkalan Udara Kuala Lumpur selama 12 tahun.

Pangkalan Udara Kuala Lumpur di Jalan Lapangan Terbang Lama, di sini adalah pangkalan udara pertama Tentera Udara Diraja British di Tanah Melayu yang mula beroperasi pada 1 Jun 1941.

Ia juga menjadi pangkalan udara pertama TUDM apabila pasukan itu ditubuhkan pada 2 Jun 1958 dengan nama asal Tentera Udara Diraja Persekutuan sebelum ditukarkan kepada nama sekarang pada tahun 1963.

Sementara itu Pegawai Waran Pangkalan Udara Kuala Lumpur, Ahmad Maulana Ab Ghafar yang telah berkhidmat dengan TUDM selama 17 tahun berkata, beliau amat teruja untuk berpindah ke Pangkalan Udara Sendayan.

Ini kerana pangkalan udara baharu itu menyediakan kemudahan yang selesa serta persekitaran yang tenang, katanya.

Sarjan Udara Mazuin Bidin yang akan turut berpindah ke Sendayan berkata, penghijrahan ke lokasi baharu itu akan memberi manfaat kepada semua anggota TUDM yang terlibat dan berharap kemudahan baharu itu akan membakar semangat mereka untuk bekerja lebih kuat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melawat Pangkalan Udara Sendayan esok untuk  meninjau secara dekat perkembangan dan kemajuan pembinaan pangkalan udara itu.

Pusat latihan terbesar TUDM

Pangkalan Udara yang kini di peringkat akhir pembinaannya, bakal menjadi pusat latihan profesional terbesar negara untuk pegawai dan anggota TUDM.

Fasiliti itu, yang terletak di kawasan seluas 303.5 hektar kira-kira 12 kilometer dari Seremban, bagaimanapun tidak mempunyai landasan penerbangan kerana ia tidak melibatkan operasi penerbangan.

Pembangunan pangkalan udara Sendayan, yang dijangka siap akhir tahun ini, merupakan sebahagian daripada rancangan penyusunan semula Pangkalan Udara Kuala Lumpur di Jalan Sungai Besi di sini, yang akan dibangunkan menjadi Bandar Malaysia.

Ketua Tim Projek Perpindahan pangkalan udara Kuala Lumpur Kolonel Ramli Mohd Abd Jabar berkata, pangkalan udara Sendayan akan menghimpunkan kesemua tiga pusat latihan TUDM di Subang, Kinrara dan Pulau Pinang untuk berada di bawah satu bumbung.

“Kemudahan pangkalan udara Sendayan memberi peluang kepada TUDM untuk memastikan latihan profesional yang dijalankan lebih berpusat,” katanya dalam satu temu bual dengan Bernama di sini.

Keluasan tiga kali ganda

Projek membangunkan pangkalan udara Sendayan, yang dimulakan pada 2013, dirancang untuk dijadikan pusat latihan iktisas atau profesional bagi melatih pegawai dan anggota dalam bidang logistik, pentadbiran dan pengurusan.

Ramli berkata, dengan keluasan tiga kali ganda daripada saiz fasiliti sedia ada di pangkalan udara Kuala Lumpur, pangkalan udara Sendayan akan dilengkapi dengan fasiliti termoden, sejajar dengan modenisasi nasional TUDM.

Berbanding pangkalan udara Kuala Lumpur yang hanya mempunyai 250 kuarters kediaman boleh didiami, pangkalan udara Sendayan dibina dengan 693 unit kuarters kediaman pelbagai kategori termasuk banglo, berkembar dua dan pangsapuri untuk pegawai dan anggotanya.

“Perumahan warga TUDM yang baik dan teratur merupakan antara keperluan utama bagi menjamin kualiti hidup yang baik untuk keluarga anggota tentera.

“Jika di pangkalan udara Kuala Lumpur hanya boleh didiami oleh 250 pegawai dan anggota dengan keluarga masing-masing, di pangkalan udara Sendayan boleh menempatkan hampir 700 pegawai dan anggota dengan anggota keluarga sehingga mencecah 1,300 orang,” katanya.

Mengenai penyusunan semula aset operasi penerbangan, Ramli berkata, kesemuanya dipindahkan ke empat pangkalan udara di Subang, Kuantan, Gong Kedak dan Butterworth.

Ia dijalankan secara berperingkat oleh kontraktor anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) iaitu Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM).

PPHM juga terlibat membangunkan lapan tapak bagi proses pemindahan pangkalan udara Kuala Lumpur untuk tujuan penaiktarafan fasiliti dan memodenisasikan aset dan pembangunan pertahanan serta keselamatan negara.

 

Sumber : Bernama

Share: