Tindakan artis luar negara, Najip Ali mempersendakan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Razak di dalam rancangan ‘OK Chop’ terbitan Mediacorp Singapura adalah amat tidak boleh diterima. Di sesetengah negara seperti Jerman, perbuatan menghina mana-mana ketua negara adalah merupakan suatu kesalahan di bawah ‘lese-majeste law’ dan seorang pelawak terkenal negara itu, Jan Bohmermann pernah di dakwa kerana menghina Recep Tayyip Erdogan, Presiden Turki.

Selain Jerman, dua belas negara lain di dunia ini turut memperuntukkan hukuman terhadap perbuatan menghina dan mempersendakan ketua negara. Azerbaijan memperuntukkan hukuman ‘kerja amal’ selama dua tahun, Lebanon memperuntukkan denda sebanyak $66,400.00, Venezuela memperuntukkan hukuman penjara selama empat puluh bulan, Poland memperuntukkan hukuman penjara selama tiga tahun, Turki memperuntukkan hukuman penjara selama empat tahun, Belanda memperuntukkan hukuman penjara selama lima tahun, Cameroon memperuntukkan hukuman denda sebanyak $42,260.00, Bahrain memperuntukkan hukuman penjara selama tujuh tahun, Kuwait memperuntukkan hukuman buang negeri/diusir ke negara asal, Thailand dan Indonesia memperuntukkan hukuman lima belas tahun penjara dan Iran memperuntukkan hukuman sebanyak 74 rotan.

Najip Ali amat beruntung dan perlu bersyukur kerana Singapura dan Malaysia, bukanlah negara kejam yang ada memperuntukkan apa-apa hukuman atas perbuatan beliau. Apa yang menyedihkan, terdapat segelintir artis Malaysia sendiri yang mempertahankan perbuatan salah Najip Ali terhadap Perdana Menteri Malaysia. Di manakah sifat patriotisme selebriti Malaysia dalam mempertahankan pimpinan tertinggi negara?

Sebagai golongan berpengaruh yang mempunyai peminat dan pengikut tersendiri, selebriti seharusnya memelihara sensitiviti peminat terhadap isu-isu yang melibatkan maruah negara. Jatuh dan bangun anak seni adalah di tangan peminat dan selebriti seharusnya menjadi contoh dan tauladan kepada rakyat dalam memupuk semangat patriotisme.

Share: