‘Malinnov’ Pistol Semi Automatik Buatan Malaysia

Malinnov

Malaysia kini selangkah lagi maju kehadapan dalam industri keselamatan dan pertahanan tempatan. Sebuah syarikat, Aegis Malinnov Sdn Bhd memperkenalkan pistol semi automatik buatan mereka baru-baru ini.

Malinnov, pistol semi automatik M1P 9MM Caliber ini djangka keluar pada tahun ini. Menurut pengerusinya Tan Sri Hashim Meon, syarikat terbabit telah mendapat kelulusan untuk menjual senjata api dari Kementerian Dalam Negeri dan akan ke fasa seterusnya iaitu mendapatkan pengiktirafan ujian ketahanan pistol dari Institut Penyelidikan Sains & Teknologi Pertahanan (STRIDE).

Beliau berkata pihaknya menjangkakan proses terbabit akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan sebelum selesai sepenuhnya.

“Selepas itu, kita boleh memasarkan pistol keluaran pertama syarikat ini. Sebagai permulaan kita sasarkan jualan di peringkat dalam negara kepada pihak pegawai keselamatan seperti polis dan tentera serta pembeli peribadi yang mempunyai lesen sah untuk memiliki senjata api.

“Selepas yakin dan mengukuhkan reputasi di segmen pasaran tempatan, barulah kita akan mula meneroka pasaran yang lebih luas di luar negara,” katanya

Pistol seberat 830 gram berkualiti dan dikatakan setaraf dengan pistol-pistol yang ada di pasaran antarabangsa. Proses pembuatan pistol ini mengambil masa selama 5 hingga 6 tahun untuk dihasilkan untuk pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang ditubuhkan syarikat itu untuk menghasilkan pistol yang menepati piawaian antarabangsa dan kehendak pasaran.

“Kebanyakan anggota pasukan R&D itu mempunyai latar belakang ketenteraan serta memiliki kemahiran tinggi dalam pengendalian senjata seperti bekas anggota Unit Tindakan Khas dan pengalaman berkenaan sangat membantu untuk menghasilkan satu produk terbaik dari kilang di Taman Teknologi Malaysia, di sini.

“Mereka dilantik menjadi penasihat dalam hal berkaitan kualiti tembakan. Dalam aspek penghasilan reka bentuk pula kita juga mengunakan kepakaran anak tempatan. Bagaimanapun, kita masih menggunakan mesin pembuatan yang diimport dari luar,” katanya.

Bagi pembangunan jangka panjang, Hashim berkata Aegis Malinnov ada menjalin kerjasama dengan pihak STRIDE dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dalam cadangan untuk membangunkan dua produk ketenteraan terbaharu iaitu Rocket Proper Grenade dan Mortar Launcher.

Share: