Kewajaran Sosma Dalam Aspek Keselamatan Negara

Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau ringkasnya SOSMA yang telah diwartakan pada 22 Jun 2012 telah meluluskan lanjutan tempoh tahanan maksimum selama 28 hari pada 4 April 2017 untuk diguna pakai selama 5 tahun lagi berkuatkuasa 31 Julai nanti.

Persepsi yang mengatakan bahawa SOSMA boleh disalah gunakan oleh polis untuk menahan mana-mana individu perlu disangkal. Seharusnya tujuan asal pengubalan SOSMA perlu difahami iaitu bertujuan untuk mengekang individu atau kumpulan yang mengancam keselamatan negara serta memudaratkan keselamatan awam. Dalam memastikan keamanan dan kestabilan negara terpelihara isu keselamatan seharusnya menjadi keutamaan kerajaan serta setiap lapis masyarakat di Malaysia amnya.

Keputusan Dewan Rakyat yang menyaksikan 93 undi menyokong berbanding 77 tidak menyokong sudah cukup mengambarkan bahawa masih terdapat kepekaan Ahli Parlimen di Malaysia terhadap kepentingan keselamatan negara.

Pengubalan SOSMA yang dikaitkan dengan pelanggaran hak asasi tahanan di sisi undang-undang juga perlu ditepis. Ketetapan SOSMA sendiri memberikan hak kepada individu yang ditahan untuk dirujuk kepada pengamal undang-undang pilihannya dan mesti dibicarakan.
Lanjutan 28 hari tempoh maksimum tahanan bukan bermakna individu yang ditahan akan terus ditahan selama itu, namun ianya akan bergantung kepada tempoh siasatan. Pelanjutan tempoh juga signifikan dengan proses siasatan polis yang perlu teliti demi memastikan pendakwaan dapat dilaksanakan tanpa merisikokan keselamatan negara dikemudian hari.

Share: