Baru-baru ini viral di media sosial ucapan penghargaan ikhlas dari hati seorang ibu kepada pihak Balai Polis Masjid India ekoran khidmat bantuan yang di luar jangkaan yang diberikan pegawai polis balai tersebut untuk membantu anaknya pulang semula ke pangkuan keluarganya di Kota Kinabalu, Sabah. Berita tersebut telah mendapat ribuan komen dan likes yang memuji tindakan dua pegawai polis yang telah “go above and beyond their duty” untuk membantu remaja tersebut.

Tindakan pegawai-pegawai polis tersebut sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru atau ‘luar biasa’. Boleh dikatakan khidmat dan pengorbanan pihak Polis DiRaja Malaysia untuk memastikan keselamatan dan keamanan negara selama ini adalah sesuatu yang normal. Malah, tidak terkira banyaknya berita dan cerita berkenaan tindakan dan pengorbanan Polis demi negara yang tercinta untuk menjaga keselamatan, keamanan dan ketenteraman awam.

Malangnya, berita berkenaan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan pihak Polis lebih kehadapan berbanding dengan ‘success stories’ dan ‘feel good stories’ yang melibatkan pihak PDRM. Kisah polis yang terbabit dengan gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pelbagai kes lain yang negatif tidak tidak boleh dikaitkan dengan semua anggota polis. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Perlu diingatkan bahawa anggota pasukan polis bergadai nyawa dan raga dalam melaksanakan tugas harian tak kira masa mahupun tempat. Disebabkan pengorbanan mereka inilah masyarakat awam mampu menjalani kehidupan seharian tanpa perlu memikirkan hal keselamatan diri dan harta benda.

Sejarah jelas menunjukkan bahawa jasa dan sumbangan PDRM begitu besar kepada Malaysia. Segala pencapaian dan pengiktirafan yang dikecapi oleh Malaysia tidak mungkin dicapai tanpa keamanan dan kemakmuran yang diusahakan oleh pasukan polis ini.

Sempena menyambut Hari Polis ke-210, marilah kita bersama-sama mengambil peluang ini untuk menghayati dan menghargai jasa dan pengorbanan pihak polis serta pasukan keselamatan Malaysia dalam memastikan ketenteraman dan keselamatan awam di negara berkekalan. “We Love You PDRM”.

Share: