KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Agensi Kawalan Sempadan Malaysia 2017 diluluskan Dewan Rakyat sebulat suara selepas lebih enam jam dibahaskan, hari ini.

RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas sesi petang persidangan dewan itu.

RUU itu membolehkan AKSEM sebagai agensi keselamatan sempadan yang mempunyai fungsi lebih luas dan efektif.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, RUU itu bagi memperkasakan pelaksanaan kawalan di sempadan darat negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Pengoperasian AKSEM tanpa membabitkan pertambahan jawatan baharu sebaliknya mengguna pakai jawatan daripada agensi sedia ada yang diperkukuh,” katanya.

RUU berkenaan turut membolehkan AKSEM melaksanakan operasi bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang sehingga ke garis sempadan negara membabitkan beberapa agensi.

Antara lain, AKSEM diwujudkan bagi mengawal kegiatan penyeludupan atau aktiviti lain yang menyalahi undang-undang di sempadan darat negara.

Malah kemasukan pendatang asing tanpa izin pemerdagangan manusia, penyeludupan termasuk barang bersubsidi serta kewujudan laluan tikus di sempadan negara juga boleh dibanteras.

AKSEM akan dilaksanakan dengan menaik taraf Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) yang dibentuk membabitkan agensi induk iaitu polis, Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak RM18.6 juta hasil rampasan berjaya dikutip AKSEM dalam tempoh enam bulan tahun ini.

Hasil rampasan yang dikutip itu jauh lebih besar berbanding kutipan rampasan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) pada 2014.

Katanya, sejak penubuhannya secara pentadbiran pada November 2015, AKSEM berjaya laksana fungsinya dengan cukup berkesan.

“Tahun pertama beroperasi pada 2016, nilai rampasan barang dicatatkan AKSEM sebanyak RM38.6 juta berbanding hanya RM18.2 juta pada 2014 sebelum agensi ini diwujudkan,” katanya.

Sumber : Berita Harian
Share: