KUALA PERLIS, 24 Julai — Maritim Malaysia bersama Australian Border Force (ABF) hari ini selesai melaksanakan latihan bersama menerusi Ops Redback 8 yang diadakan di sekitar perairan Utara Pantai Barat Semenanjung Malaysia yang berlangsung selama 6 hari bermula 17 Julai hingga 23 Julai 2017 semalam.

Ops Redback 8 yang diadakan ini merupakan kesinambungan daripada siri latihan bersama antara Maritim Malaysia dan ABF yang telah dilaksanakan sebanyak 7 siri sebelum ini bermula daripada Februari 2014 yang lalu. Menerusi Ops Redback 8 ini, fokusnya adalah untuk memerangi ancaman keselamatan maritim yang dihadapi kedua-dua negara, terutamanya isu penyeludupan migran dan pemerdagangan manusia di mana ia merupakan isu global yang memerlukan jalinan kerjasama pelbagai pihak tidak kira daripada dalam negara ataupun di peringkat antarabangsa.

Latihan kali ini disertai seramai 53 pegawai dan anggota penguat kuasa Maritim Malaysia serta melibatkan sejumlah 6 aset bagi menggerakkan operasi berkenaan. ABF juga telah menempatkan 2 pegawai bagi bersama-sama di atas aset Maritim Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, YBhg Laksamana Muda Maritim Dato. Mohd Taha Bin Ibrahim dalam sidang medianya berkata, “Ops Redback 8 ini mensasarkan kepada mereka yang ingin melakukan kegiatan jenayah atau perkara yang menjurus kepada aktiviti penyeludupan migran serta pemerdagangan manusia disamping turut mengambil perhatian kepada jenayah — jenayah lain seperti penyeludupan barangan terkawal, dadah serta aktiviti yang melanggar peraturan di perairan negara.”

“Operasi ini dilaksanakan di atas dasar perkongsian maklumat risikan dari Malaysia dan Australia terhadap aktiviti penyeludupan migran serta pemerdagangan manusia. Dalam usaha Maritim Malaysia dan ABF membanteras aktiviti ini, secara tidak langsung ‘community outreach program’ ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam usaha membanteras dengan menjadikan komuniti maritim terutama sekali komuniti nelayan setempat sebagai mata dan telinga pihak berkuasa.”

“Ini secara tidak langsung menjadikan perairan setempat senantiasa diawasi bukan sahaja oleh pihak berkuasa namun oleh komuniti setempat yang prihatin. Oleh yang demikian hubungan keakraban bersama antara komuniti setempat dan pihak berkuasa dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan bersama.”

Laksamana Muda Maritim Dato’ Mohd Taha Bin Ibrahim turut menegaskan bahawa Maritim Malaysia akan terus memburu individu serta kelompok tertentu yang terlibat secara langsung ataupun tidak di dalam aktiviti seperti ini, ini tidak terkecuali kepada mereka golongan nelayan yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan Malaysia. Menerusi latihan operasi seperti ini, dapat menunjukkan bahawa Maritim Malaysia mendapat kerjasama bukan sahaja dari dalam negara bahkan ianya mendapat sambutan di peringkat antarabangsa bagi memastikan komitmen agensi ini adalah tinggi dan tidak boleh dikompromi.

Menerusi sidang media bersama ini, Pengarah Wilayah Asia Tenggara ABF, Komander Chris Waters berkata, “Australia menghargai hubungan kerjasamanya dengan Malaysia, di mana dengan adanya Ops Redback ini ianya akan memastikan kedua-dua negara selamat daripada ancaman jenayah maritim.”

“Ancaman penyeludupan migran serta pemerdagangan manusia khususnya di Selat Melaka mungkin dilihat agak jauh dengan Australia tetapi ianya merupakan isu global. Kerjasama dengan rakan serantau terutamanya dengan Maritim Malaysia seperti ini merupakan komponen penting dengan pendekatan kaedah yang sesuai supaya dapat melindungi sempadan perairan Austalia dengan selamat.”

Katanya lagi, “kami berasa bangga kerana dapat menjalinkan kerjasama dengan rakan-rakan dari Maritim Malaysia terutamanya dalam memerangi kegiatan jenayah seperti ini.”

Ops Redback 8 merupakan sebahagian daripada operasi keselamatan maritim yang disokong oleh ABF yang sedang dijalankan dengan kerjasama Maritim Malaysia. Latihan dan operasi seperti ini juga akan diteruskan di kawasan — kawasan lain demi menunjukkan kesungguhan Maritim Malaysia dalam menjadikan perairan negara sebagai sebuah tempat yang selamat dari sebarang ancaman termasuk ancaman yang akan menjejaskan ekosistem setempat terutama sekali di kawasan mata pencarian nelayan tempatan.

Maritim Malaysia amat berbesar hati dengan sokongan yang diberikan oleh komuniti maritim setempat dan sokongan tersebut dijadikan sebagai asas bagi mempergiatkan lagi penguatkuasaan di kawasan tumpuan.

Menerusi Ops Redback 8, sebanyak 87 bot berjaya diperiksa serta 4 tangkapan berjaya dilakukan dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen. Sehingga hari ini, hasil operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan Maritim Malaysia telah merekodkan 236,700 jumlah penggeledahan dan 9,384 tangkapan. Seramai 4,349 pesalah telah dikenakan kompaun, sebanyak 1,817 kes dibawa ke mahkamah dan 2,421 kes pula diserahkan kepada agensi-agensi yang berkaitan. Dari jumlah itu, bermula Januari 2017 hingga kini, seramai 390 pendatang asing tanpa izin telah ditangkap. Manakala dari 2010 hinggi kini seramai 66 individu telah ditangkap di bawah Akta Anti Pemerdagangan Manusia Dan Penyeludupan Migran 2007.

Share: