Pada 17 Jun 2017, Mahkamah Tinggi Kuching telah memutuskan supaya status Dr. Ting Tiong Choon daripada Parti DAP dikembalikan semula statusnya sebagai ADUN Pujut, Sarawak. Alasan penghakiman yang diberikan adalah bahawasanya Dewan Undangan Negeri Sarawak tidak mempunyai kuasa untuk berurusan dengan keputusan pilihanraya dan ia bukan suatu badan yang kompeten untuk membuat keputusan berkaitan perlembagaan. Ia sama sekali tidak menyentuh mengenai taraf kerakyatan sebenar Dr. Ting, yang telah menerima kerakyatan Australia, sebelum ini. Perlembagaan Malaysia secara jelas tidak membenarkan mana-mana warganegara memegang dan memiliki kewarganegaraan asing.

Dengan itu, Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Dalam Negeri sewajarnya setelah mengkaji penerimaan suatu kewarganegaraan asing oleh Dr. Ting Tiong Choon daripada Parti DAP dan tanpa apa-apa kelengahan, hendaklah melucutkan kerakyatan beliau selaras dengan Perkara 24, Perlembagaan Malaysia.

“Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan melalui pendaftaran, penaturalisasian atau perbuatan sukarela dan formal yang lain (selain perkahwinan) maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu.”Perkara 24 (1), Perlembagaan Malaysia

Pemilikan kewarganegaraan asing oleh pemimpin rakyat di peringkat DUN atau Parlimen, sama sekali tidak boleh diterima kerana kesetiaan individu itu terhadap negara boleh dipertikaikan. Pemimpin sebegini juga dikhuatiri menyebelahi atau bersimpati dengan negara asing, sehingga kepentingan Malaysia diabaikan.

Tindakan tidak berperlembagaan Dr. Ting Tiong Choon menyebabkan beliau telah menjadi warga asing. Ini bermakna, warga asing yang memegang kerakyatan asing pun boleh menjadi pemimpin di Malaysia.

Share: