300,000 orang kanak-kanak yang tidak bernegara, dikatakan menjadi mangsa kekejaman kerajaan apabila kanak-kanak itu tidak menerima bantuan Skim Pinjaman Buku Teks, dikenakan yuran perubatan secara penuh, membayar yuran pengajian dengan kadar warga asing, serta tidak boleh memiliki passport dan lesen memandu Malaysia. Desakan terhadap kerajaan telah disuarakan oleh Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.

Sebenarnya, tidak timbul masalah bahawa wujud kanak-kanak tidak bernegara. Kanak-kanak secara automatik akan mengikut kerakyatan ibu yang melahirkan mereka. Daripada pemerhatian yang dijalankan, masalah yang dibangkitkan Teo Nie Ching ini bukanlah masalah anak-anak tidak bernegara, tetapi sebenarnya masalah anak-anak warganegara asing yang dikatakan lahir daripada benih warganegara Malaysia, tanpa sebarang perkahwinan yang sah.

Masalah timbul apabila seseorang warganegara Malaysia mendapat anak hasil perkongsian hidup dengan warganegara asing, tanpa ada ikatan perkahwinan, atau anak telah dilahirkan lebih awal sebelum tarikh perkahwinan. Apabila anak itu dilahirkan oleh ibu warganegara asing tanpa sebarang perkahwinan yang sah, secara automatik anak itu akan mewarisi kewarganegaraan ibunya. Sesiapa jua yang mengaku sebagai bapa kepada anak berkenaan tidak dapat diambil kira kerana ketiadaan hak disisi undang-undang. Dalam erti kata lain, anak luar nikah tidak akan dapat mewarisi kewarganegaraan bapanya yang mempunyai kewarganegaraan Malaysia.

Cadangan agar kerajaan turut memberi kerakyatan kepada anak-anak angkat yang diambil secara sah disisi undang-undang turut dianggap sebagai mengarut dan boleh mengancam keselamatan negara. Seharusnya, mana-mana pasangan perlu mengutamakan anak warganegara Malaysia terlebih dahulu, sebelum mengambil anak warga asing sebagai anak angkat. Jika cadangan ini dilaksanakan, sudah pasti ramai ibu-bapa asing mahu menjual anak mereka kepada ibu-bapa angkat di warganegara Malaysia, dengan harapan anak mereka itu akan mendapat masa depan yang cerah di Malaysia. Jenayah perdagangan manusia akan meningkat.

Untuk mengatasi masalah ini, nasihatilah penduduk di Parlimen Kulai agar mereka berkahwin terlebih dahulu sebelum mendapatkan anak. Bagi kes-kes yang terlanjur mendapat anak sebelum perkahwinan, ibu-bapa harus menerima hakikat bahawa status anak luar nikah tidak dilindungi oleh undang-undang. Sebenarnya, bukan kerajaan Malaysia yang menganiaya anak-anak mereka, tetapi ia adalah ibu-bapa anak-anak itu sendiri.

Kesemua kemudahan dan keistimewaan yang dinyatakan di atas, hanya layak diterima dan dinikmati oleh warganegara Malaysia sahaja. Sekiranya anak-anak itu benar-benar berstatus warganegara, tiada siapa boleh menghalang mereka dari menerima kesemua faedah, kemudahan dan keistimewaan yang disediakan kerajaan. Betapa beruntungnya kita semua warganegara Malaysia, tanpa kita sedari kehidupan kita ini sebenarnya sering dicemburui warga asing.

Share: