Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam telah memutuskan agar sembilan rakyat Filipina yang didapati bersalah bersengkongkol dalam insiden pencerobohan Lahad Datu empat tahun lalu untuk dijatuhkan hukuman mati. Mereka merupakan sebahagian dari lebih dari 100 anggota kumpulan pengganas The Royal Sulu Sultanate Army yang telah ditangkap oleh pihak polis empat tahun lepas.

Insiden pencerobohan Lahad Datu ini telah memberi kesan yang sangat besar kepada penduduk Sabah. Selain dari mengakibatkan sepuluh orang anggota pasukan keselamatan negara terkorban, keadaan keselamatan, ekonomi dan sosial penduduk Sabah turut terjejas ekoran perintah berkurung yang kini telah memasuki fasa ke-67 perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Kini, satu lagi krisis besar di Marawi, selatan Filipina yang didalangi militan Daesh dikhuatiri akan megakibatkan kesan ‘spillover’ ke Malaysia dan Indonesia. Ini kerana berdasarkan maklumat yang dikumpul oleh pasukan risikan dan keselamatan Filipina, kumpulan Daesh ini merancang untuk menubuhkan ‘wilayah’ di selatan Pulau Mindanao sebagai tapak untuk membina pemerintahan khalifah IS-DAESH di Asia Tenggara.

Walau bagaimanapun, pasukan keselamatan dan pertahanan Malaysia telah bersiap siaga untuk menghadapi dan menangani sebarang kemungkinan ekoran konflik di Selatan Filipina itu. Beberapa langkah berjaga-jaga telahpun dikuatkuasa; antaranya memperketatkan rondaan dan kawalan keselamatan di semua pintu masuk seluruh negara termasuk laluan tikus agar tiada anggota pengganas dari negara jiran menyusup dan bersembunyi di negara ini serta memperkasakan pasukan keselamatan dengan aset-aset baharu dan canggih.

Selain dari kerjasama erat antara PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia dan Esscom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) untuk mengawal keselamatan di timur Sabah, Kerajaan Malaysia turut mengukuhkan kerjasama strategik dengan Kerajaan Filipina dan Indonesia dalam melancarkan rondaan bersama di perairan wilayah Mindanao dan Laut Sulu dan Sulawesi untuk mengekang pergerakkan pengganas tersebut dari merebak ke negara jiran.

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh leka dan alpa tatkala semakin banyak laporan berkenaan penangkapan penyokong dan pengikut DAESH dan IS di negara kita sendiri. Orang awam perlu memainkan peranan dalam melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pihak polis agar tindakan sewajarnya dapat diambil untuk mengelakkan tragedi Lahad Datu dari berulang.

Rakyat Malaysia perlu mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada pasukan keselamatan dan pertahanan negara kerana dengan adanya pengorbanan dan khidmat cemerlang mereka ini, tak kira di bulan puasa mahupun cuti Raya kelak, kita kini dijauhi dari sebarang serangan pengganas dan ektremis sepertimana yang berlaku di Marawi,  London dan Thailand.

“Terima Kasih Pasukan Keselamatan dan Pertahanan Malaysia!”

Share: