KUALA LUMPUR – Op Selamat 11 sempena Hari Raya Aidilfitri akan bermula pada Rabu depan (14 Jun), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata operasi trafik berkenaan diteruskan dengan bertujuan mendidik pengguna jalan raya sekali gus mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya semasa musim perayaan.

“Selain penguatkuasaan, kesedaran orang ramai juga penting untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di musim perayaan,” katanya ketika berucap sempena Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Bulan Ramadan di Pusat Latihan Polis, di sini.

 Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut mendedahkan sebanyak 1.4 juta daripada 5.3 juta jumlah saman masih belum dijelaskan oleh pesalah trafik bagi tempoh tahun lepas.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata PDRM sentiasa bersiap siaga dengan melipatgandakan usaha, risikan dan rondaan keselamatan bagi menangani ancaman khususnya daripada kumpulan militan Daesh yang cuba mencemari kemuliaan bulan Ramadan dengan melancarkan beberapa serangan kononnya atas dasar jihad.

“Mereka melihat bulan mulia ini sebagai ‘bulan jihad dan bulan bencana’ dengan menggalakkan pengikutnya menyerang dan serta membunuh orang awam termasuk umat Islam sebagai tiket untuk ‘mati syahid’.

“PDRM sentiasa bersiap siaga untuk menggagalkan niat serong dan jihad terpesong kumpulan berkenaan,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan bantuan dan sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim, ibu tunggal dan bekas anggota PDRM. – BERNAMA

Share: