YB Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam melalui portal berita AgendaDaily bertarikh 30 Mei 2017 telah membuat beberapa kecaman ke atas Jabatan Imigresen Malaysia. Sebenarnya, YB Bukit Mertajam belum benar-benar faham mengenai situasi pengurusan kawalan pintu keluar-masuk negara.

Jabatan Imigresen Malaysia telah dituduh gagal memeriksa database Interpol sehingga telah membenarkan warganegara Iran yang menggunakan paspot palsu untuk menaiki pesawat MH370 ke Beijing, China. Di Malaysia, satu-satunya jabatan yang memiliki akses kepada database Interpol adalah Polis DiRaja Malaysia. Di setiap pintu keluar-masuk negara juga, pegawai-pegawai PDRM dari Unit Cawangan Khas turut ditugaskan untuk membuat pemantauan keselamatan.

Pengganas IS dipantau sepenuhnya oleh PDRM. Jabatan Imigresen Malaysia pula bukanlah jabatan pakar di dalam pemantauan pengganas. Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak, terutamanya PDRM untuk melaporkan butiran diri dan maklumat pengganas, agar ia boleh dikemaskini di dalam Sistem Senarai Syak (Suspect List System). Proses ini kelihatan berjalan dengan amat baik sekali. Mana-mana individu yang telah tersenarai di dalam Senarai Syak tidak akan dibenarkan untuk masuk ke Malaysia, melainkan individu pengganas itu namanya tidak tersenarai di dalam Senarai Syak, maka penyekatan kemasukan pengganas itu ke Malaysia adalah di luar kemampuan Jabatan Imigresen.

Berkenaan dengan kegagalan Jabatan Imigresen menyekat kemasukan operator perisikan Korea Utara pula, umum sedia mengetahui bahawa perancang utama kepada jenayah ini memiliki kekebalan diplomatik. Tiada mana-mana pegawai diplomatik boleh dihalang daripada keluar dan masuk ke sesebuah negara di mana dia ditugaskan, melainkan individu itu dikenakan status sebagai Orang Yang Tidak Dikehendaki (persona non grata). Operator-operator yang lain pula berselindung di sebalik identiti sebagai Pegawai Perhubungan Pelanggan (GRO) yang bekerja di kelab-kelab malam. Pengesanan mengenai perkara-perkara sebegini adalah sama sekali di luar bidang kuasa Jabatan Imigresen, sebaliknya ia menjadi tanggungjawab Cawangan Khas, PDRM terutamanya di bawah unit yang bertanggungjawab terhadap ancaman luar dan keselamatan.

Kawalan keselamatan di KLIA juga bukanlah di bawah tanggungjawab Jabatan Imigresen Malaysia. Malaysia Airport Berhad dan Polis DiRaja Malaysia bertanggungjawab secara total terhadap kawalan keselamatan fizikal di premis berkenaan. Kawalan yang ketat seharusnya mampu menghalang dan mencegah operator perisikan asing daripada melakukan pembunuhan di KLIA.

Share: