Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mencadangkan agar Masjid memainkan peranan sebagai pusat deradikalisasi bagi memastikan umat Islam tidak terjebak dan terjerumus dalam kegiatan keganasan.

“Masjid yang tersergam indah harus diimarahkan dengan pelbagai pengisian…aktiviti masjid bukanlah bermusim dan berkala, ia harus dilakukan sepanjang masa sebagai pusat ibadah, pusat ilmu dan institusi kemasyarakatan”.

“Tiga elemen ini sukar dilakukan jika tiada iltizam dan komitmen daripada ahli jemaah dan pengurusan masjid. Secantik mana pun masjid, ia tidak mempunyai sebarang makna jika usaha pengimarahan tidak dapat dilakukan,” tambah beliau lagi ketika berucap pada perasmian Masjid Salmah Khamis oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob di Alor Gajah, Melaka pada 26 Mei lepas.

Dasar deradikalisasi bagi memulihkan pengganas di negara ini telah bermula sejak 1948 ketika negara diancam komunis, kumpulan al-Maunah, kumpulan Jemaah Islamiah dan Kumpulan Militan Malaysia yang mahu mewujudkan Islamic State atau Daesh. Ketakutan terhadap Islam atau Islamophobia tercetus apabila wujudnya sebilangan golongan yang tidak mempunyai asas agama kukuh tetapi mencari jalan singkat ke syurga.

“Sebanyak 87 peratus yang terlibat dalam aktiviti keganasan ini adalah mereka yang tidak ada asas langsung dalam pendidikan agama. Islam itu cantik, Islam itu indah tetapi ia sering dirosakkan oleh satu atau dua titik nila yang mencorakkan warna susu sebelanga,” katanya lagi.

Dengan Malaysia dipilih sebagai lokasi Pusat Serantau Digital Bagi Memintas Mesej Melalui Komunikasi, katanya ia menunjukkan kebolehpercayaan masyarakat dunia kepada negara dalam usaha memerangi keganasan.

Share: