LUMUT, 7 Mei  — Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini berkenan berangkat ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini buat julung kalinya.

Ketibaan Seri Paduka kira-kira 5.30 petang di Padang Kawad, Kapal Diraja (KD) Pelandok disambut Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, serta pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Sejurus tiba Sultan Muhammad V berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada 106 pegawai dan anggota TLDM dengan Leftenan Ahmad Fazwan Ramli membawa panji-panji Yang di-Pertuan Agong, manakala Leftenan Muhammad Ridzuan Amen membawa panji-panji KD Malaya.

Seri Paduka kemudian berangkat menghadiri acara menembak di Lapang Sasar Abdul Samad.

Pada hari kedua lawatan baginda esok, Sultan Muhammad V dijadual menghadiri taklimat Transformasi dan Operasi TLDM dan Projek Markas Pasukan Khas Laut (Paskal) di KD Lekiu di sini.

Seri Paduka juga akan menyaksikan demonstrasi gempur terdiri daripada Markas Paskal, Markas Udara TLDM, dan aset udara TLDM, di Basin Tambatan Pangkalan Lumut.

 

Sumber : BERNAMA
Share: