Melaka: Panglima Angkatan Tentera Darat Diraja Thailand, Jeneral Suraphong Suwana-adth hari ini dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged Para oleh Tentera Darat Malaysia.

Penganugerahan disempurnakan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor di Dataran Parawood 8 Rejimen Renjer Diraja (Para) Kem Terendak, Sungai Udang di sini dengan disaksikan pegawai tentera kedua-dua negara.

Sebelum majlis penganugerahan, turut diadakan persembahan demonstrasi antaranya Tempur Tanpa Senjata, Renang Tempur, Serangan Seksyen, Human Wave, Abseiling dan Fast Roping membabitkan 57 pegawai dan 959 anggota lain-lain pangkat.

Markas Angkatan Tentera Malaysia menerusi kenyataan berkata, penganugerahan beret dan sayap yang menjadi kebanggaan 10 Briged Para adalah penghormatan dan pengiktirafan briged itu terhadap individu, pemimpin tertinggi tentera atau kerajaan sama ada di dalam atau luar negara.

Suraphong tiba di Kuala Lumpur semalam dalam lawatan rasminya sempena mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) ke-34.

Ia adalah lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak menyandang jawatan tertinggi dalam angkatan tentera Thailand itu pada Oktober tahun lalu.

 

Sumber : Harian Metro
Share: