IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, menghargai dan menghormati adalah dua kata kunci wajib dijadikan tunggak sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia bagi mengenang jasa serta pengorbanan anggota pasukan itu.

Baginda bertitah, menghargai dan menghormati perkhidmatan ahli bomba tidak memadai sekadar menganugerahkan medal, sijil dan cenderamata atau ucapan dan surat pujian. Titah baginda, menghargai dan menghormati khidmat anggota pasukan terbabit juga tidak terbatas kepada program berbentuk perbarisan, pameran, persembahan budaya atau jamuan semata-mata.

“Sambutan Hari Bomba akan lebih bermakna jika diisi acara berunsur kerohanian dan ilmu, selain berupaya meningkatkan penghayatan masyarakat dan penghargaan negara. “Ia juga wajar dilengkapi program yang dapat memberikan impak bermakna, membawa perubahan bermakna kepada perkhidmatan yang memberikan manfaat jangka panjang kepada anggota, dengan menyentuh lima perkara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2017 peringkat kebangsaan di perkarangan Dewan Bandaran Ipoh, di sini sebentar tadi. Sultan Nazrin bertitah, lima perkara berkenaan adalah merekayasa program latihan dan tatacara operasi yang dapat meningkatkan tahap profesional anggota.

Kedua, mengenal pasti peralatan terkini yang diperlukan dalam menghadapi cabaran senario semasa untuk membolehkan perkhidmatan lebih berkesan dapat diberikan. Baginda bertitah, ketiga ialah menilai prosedur operasi dan kelengkapan yang perlu dibekalkan untuk meminimumkan risiko anggota ketika menjalankan tugas.

“Keempat, merangka pakej perkhidmatan dan program kebajikan anggota bukan saja ketika berkhidmat tetapi lebih penting pada usia tua persaraan, setimpal tahap pengorbanan, beban tanggungjawab dan risiko dihadapi anggota.Raja Nazrin

“Kelima, meningkatkan kesedaran negara dan masyarakat terhadap pengorbanan bomba supaya negara dan masyarakat menghargai ahli bomba ketika dalam perkhidmatan dan selepas bersara,” titah baginda.

Sumber : BHarian
Share: