Pada Jumaat lalu, Agensi Keselamatan Negara (National Security Agency – NSA) Amerika Syarikat mengumumkan yang mereka akan berhenti dari mengintip emel atau mesej teks yang dihantar oleh seseorang di luar negara kepada rakyat di negara AS. Sebaliknya NSA akan membuat intipan kepada sasaran sebenar yang sememangnya berada di bawah pengawasan NSA.

Jurucakap Agensi perisik AS berkata, walaupun mereka mempunyai kuasa undang-undang untuk terus mengintip komunikasi seumpama ini, ia akan menghentikan amalan tersebut untuk melindungi privasi rakyat Amerika Syarikat.
“NSA will no longer collect certain internet communications that merely mention a foreign intelligence target”NSA

NSA,  badan perisikan utama AS dalam perisikan isyarat (Signal Intelligent), diberikan kebenaran undang-undang untuk mengumpul komunikasi mana-mana sasaran asing, tetapi tidak kepada rakyat Amerika kecuali dalam keadaan tertentu, atau jika ia memperoleh  waran untuk berbuat demikian.

Di bawah Seksyen 702 Akta Pengawasan Perisikan Asing (Foreign Intelligence Surveillance Act), ia dibenarkan untuk mengintip emel atau teks seorang warganegara Amerika Syarikat dengan seseorang di luar negara jika mereka hanya menyebut kata kunci tertentu yang dikira snsitif oleh pihak NSA.

Amalan ini telah mencetuskan kritikan dari peguam bela kebebasan awam, yang mengatakan ia melanggar prinsip perlindungan peribadi yang digariskan oleh perlembagaan. Ramai yang mengancam untuk cuba menyekat pembaharuan Seksyen 702 yang dijangka dilakukan pada akhir tahun ini jika undang-undang itu tidak diperketatkan.

Tetapi agensi perisikan negara itu mahu undang-undang yang hendak diperbaharui tidak berubah.

NSA berkata mereka secara sukarela akan berhenti melakukan intipan komunikasi walaupun ia mungkin menyebabkan NSA kehilangan akses kepada maklumat penting dalam memerangi ancaman siber dan keganasan.

Undang-undang seperti ini jelas menceroboh hak privasi pengguna dalam komunikasi mereka. Di negara kita, kita dilindung oleh pelbagai akta seperti Akta Perlindungan Data Peribadi yang menjamin hak privasi individu. Namun, sekiranya perlu, dan sudah dipastikan penglibatan individu tertentu dalan organisasi seperti pengganasan, individu tersebut wajar dipantau komunikasi mereka bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.Sarjan Misai

 

Share: