Pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri selain menyandang jawatan Menteri Pertahanan baru-baru ini telah mendapat kritikan daripada pihak pembangkang dan kumpulan anti-kerajaan.

Mereka mempersoalkan rasional pelantikan tersebut dan mendakwa ianya hanyalah satu langkah politik kerajaan (political move) yang tidak akan membawa sebarang manfaat kepada keselamatan dan kesejahteraan Negara khususnya di Sabah.

Lim Kit Siang dalam kenyataannya baru-baru ini mendakwa lantikan Datuk Seri Hishammuddin sebagai satu rampasan kuasa yang dilakukan semata-mata untuk melindungi PM menjelang PRU14. Malah, pihak pembangkang juga telah mengambil kesempatan untuk melaga-lagakan pemimpin kerajaan BN dengan melontar tohmahan serta dakwaan liar bertujuan menimbulkan keraguan dan huru-hara di kalangan rakyat, khususnya masyarakat di Sabah.

TPM Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyokong pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai menteri tugas-tugas khas di Jabatan Perdana Menteri

Persoalannya kini, apakah motif sebenar pihak pembangkang menyebarkan hasutan dan dakwaan yang berbaur gutter politics ini?

PM telahpun menjelaskan bahawa pelantikan tersebut, yang turut mendapat persetujuan dan sokongan penuh daripada TPM Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta barisan jemaah menteri, adalah antaranya bertujuan memantapkan pengurusan ancaman keselamatan dan kedaulatan negara khususnya di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

PM Datuk Seri Najib Razak bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Datuk Seri Hishammuddin semasa perasmian Forward Operating Base (FOB) di Lahad Datu.

Pengalaman Datuk Seri Hishammuddin sebagai Menteri Pertahanan serta mantan Menteri Dalam Negeri selama empat tahun adalah amat bersesuaian bagi jawatan baharu tersebut. Malah sepanjang tempoh beliau menyandang jawatan Menteri Pertahanan, pelbagai usaha penambahbaikan dan hubungan kerjasama antara negara jiran seperti Filipina, Indonesia serta negara-negara ASEAN lain telahpun terjalin bertujuan memastikan pengawasan dan keselamatan perairan Malaysia, Sabah – Sulu Sulawesi terjamin dari ancaman pengganas dan penjenayah.

Kerajaan Malaysia dan Filipina berjaya menggagalkan rancangan kumpulan militan Abu Sayyaf untuk menculik warga asing secara besar-besaran dari pusat peranginan di sekitar pulau pelancongan di Sabah dan bahagian tengah Filipina.

Dengan peningkatan jumlah kes keganasan kumpulan milita Abu Sayyaf selain kes jenayah rentas sempadan baru-baru ini, pelantikan tersebut adalah satu langkah proaktif Kerajaan untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat Sabah dari terus dibelenggu ketakutan dan keresahan. Ini lebih-lebih lagi apabila kumpulan milita ini licik dan sentiasa menanti peluang untuk melakukan sabotaj.

Pihak pembangkang seharusnya memberi sokongan terhadap pelantikan tersebut kerana ia mampu melicinkan proses untuk mengembalikan keamanan di Sabah yang telah lama dicabuli anasir milita serta jenayah. Pihak pembangkang tidak seharusnya sekadar melontar fitnah sambil bermain politik kotor tanpa mementingkan impaknya terhadap rakyat dan negara.

Share: