Dalam tempoh sebulan, seramai 23 orang telah ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang di bawah pelbagai kesalahan yang berkaitan fahaman ekstremism dan keganasan, khususnya DAESH di Malaysia. Sepanjang tahun lalu pula, pihak polis telah menahan seramai 122 individu yang terbabit dengan kegiatan kumpulan militan tersebut, menjadikan jumlah seramai hampir 300 orang individu ditahan sejak 2013.

Kerajaan Malaysia telah menegaskan bahawa tiada kompromi dalam menangani gejala penyebaran fahaman ekstremism dan keganasan, khususnya fahaman DAESH di Malaysia. Pelbagai langkah preventif, preemptif dan affirmative yang telah dilaksanakan, khususnya memperkasakan akta dan undang-undang bagi menangani isu tersebut. Antaranya memperkasakan Kanun Keseksaan (Pindaan) 2015 (KK); Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015; Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Pindaan) 2015 (SOSMA); Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015 (POCA); Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015 (SMATA); dan Akta Penjara (Pindaan) (No.2) 2015.

Sungguhpun begitu, bilangan kes keganasan dan ekstremism berkaitan IS/DAESH di negara ini masih pada tahap yang membimbangkan. Tangkapan yang dilakukan pihak polis bukan hanya melibatkan warganegara Malaysia, malah warga negara asing yang berasal dari Syria, Thailand, Filipina dan China. Memandangkan gejala ini melangkaui sempadan negara, Malaysia telah memperkukuhkan serta mempertingkatkan kerjasama dengan negara-negara asing seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Qatar, Pakistan, Turki, Australia, New Zealand serta beberapa negara barat seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom.

YB Dato’ Sri Anifah Hj. Aman, Menteri Luar Negeri bersama TYT Rex Tillerson, Setiausaha Negara Amerika Syarikat semasa mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri Pakatan Global Menangani ISIS

Maklumat dari Cawangan Khas Polis  turut menunjukkan bahawa majoriti tangkapan adalah melibatkan golongan belia di mana mereka telah ‘dipancing’ untuk menyertai kumpulan IS/DAESH melalui laman sosial khususnya aplikasi Facebook dan blog-blog pro-IS/DAESH. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan rasmi telah menyekat 32 laman sesawang dan lebih dari 70 links yang menyebarkan fahaman militan IS/Daesh di negara ini. Walau bagaimanapun, masih terdapat banyak lagi laman sesawang yang bertindak sebagai ‘front’ oleh kumpulan IS/DAESH untuk tujuan scouting dan recruiting.

Maklumat terkini menunjukkan bahwa terdapat lebih dari 100 orang rakyat Malaysia yang telah meninggalkan negara untuk menyertai ISIS sejak 2013 dan berada di Mosul, Iraq. Seramai 137 orang telah ditangkap sama ada merancang menyertai ISIS di luar negara, kembali ke Malaysia selepas menyertai kumpulan itu, atau menghantar dana kepada kumpulan militan tersebut. Amerika Syarikat (AS) telah mengetuai operasi untuk membebaskan kota Iraq, Mosul dari tawanan DAESH tahun lalu dan militan Malaysia yang pulang ke tanah air pasti membawa bersama mereka fahaman ekstrimis.

Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, pemimpin kumpulan militan IS Malaysia di Syria diletakkan dalam satu senarai Amerika Syarikat (AS) yang menjadikan dia sasaran berprofil tinggi untuk agensi penguatkuasaan undang-undang di seluruh dunia

Walaupun pelbagai langkah tegas yang diambil kerajaan Malaysia  dalam  menangani ancaman ekstremis Daesh, masih banyak lagi usaha yang perlu dilaksanakan bagi mengelakkan fahaman tersebut dari terus  menyusup masuk dan meracuni pemikiran rakyat Malaysia.

Sungguhpun tindakan-tindakan tersebut telah menerima kritikan dan kecaman dari pelbagai pihak, semua ini adalah bertujuan bagi memastikan keselamatan  dan kedaulatan negara terjamin dan mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian melibatkan pengganas yang tidak diingini seperti pengeboman di Paris, Istanbul, Ankara, Beirut dan Jakarta dari berlaku di Malaysia.

Share: