PDRM Abu Sayyaf

KOTA KINABALU, 17 April (Bernama) — Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya akan mengkaji keperluan meminta kerajaan Filipina mengekstradisi beberapa anggota Abu Sayyaf untuk dihadapkan ke mahkamah di sini atas pertuduhan menculik di negara ini.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan waran tangkap ke atas beberapa anggota kumpulan militan tersebut dan beliau difahamkan ada di kalangan mereka yang dikehendaki Malaysia kini berada dalam tahanan pihak berkuasa Filipina.

Ada beberapa pemimpin Abu Sayyaf telah kita keluarkan waran tangkap. Ada yang ditangkap oleh pihak berkuasa Filipina dan ada yang menyerah diri (kepada pihak berkuasa Filipina).

Kita sedang mengkaji kes yang berlaku di negara kita membabitkan anggota Abu Sayyaf ini sama ada kita akan memohon mereka diekstradisi ke sini, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Syarahan Perdana Program [email protected] di Universiti Malaysia Sabah di sini hari ini.

Khalid turut memberitahu keadaan keselamatan di pantai timur Sabah terkawal berikutan tindakan agresif Malaysia dan Filipina dalam membanteras jenayah rentas sempadan.

Kita akan teruskan tekanan di pihak sebelah negara kita dengan mempertingkatkan kehadiran pasukan keselamatan di sempadan untuk memastikan tidak ada yang cuba menyusup masuk ke negara kita.

Kita juga mengharapkan tindakan agresif oleh pihak berkuasa Filipina dan kita sentiasa bekerjasama dengan mereka, khususnya dari segi membekalkan maklumat, katanya.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata PDRM telah memohon kepada kerajaan Sabah untuk mengharamkan kumpulan Milah Abraham daripada menjalankan aktiviti di negeri ini yang boleh memesongkan akidah umat Islam.

Buat masa sekarang ini, PDRM belum boleh membuat sebarang tangkapan pengikut Milah Abraham di Sabah kerana pihak kerajaan negeri belum mengharamkan kumpulan ajaran sesat ini.

Pengharamannya di setiap negeri terletak di bawah enakmen tertentu yang diperuntukkan oleh negeri-negeri dan PDRM telahpun memohon pengharamannya melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang akan dibawa kepada pertimbangan Yang Dipertua Negeri, jelasnya.

Sumber –  BERNAMA

Share: