Kad Senjata

Putrajaya: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan kad senjata sebagai penambahbaikan kepada sistem buku lesen secara manual yang dilaksanakan ketika ini.

Kad berkenaan dilancarkan pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan KDN, kad berkenaan akan dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mulai 1 Jun ini ketika pembaharuan lesen senjata api untuk tahun ini, dan tahun berikutannya.

Katanya, penambahbaikan ini dibuat terutama dari segi pengemaskinian statistik pemilikan lesen dan penyalahgunaan senjata.

“Menerusi pelaksanaan kad ini, semua pemilik senjata api di negara ini perlu memiliki kad senjata seperti yang ditetapkan mengikut Peraturan-peraturan Pelesenan Senjata (Pindaan) 2016 dan Peraturan-peraturan Senjata (Pindaan Jadual Kedua) bagi memudahkan sistem pengurusan dan pemantauan oleh PDRM.

“Kad ini memiliki beberapa ciri keselamatan seperti tandatangan Ketua Polis Negara, gambar pemilik, no myKad pemilik, kategori lesen atau permit dan maklumat senjata api,”katanya.

Menurutnya, inisiatif ini adalah cetusan idea Ahmad Zahid Hamidi yang melihat perlunya transformasi dengan menggunakan teknologi terkini dan penambahbaikan ke atas buku senjata bagi memudahkan pengenalan pemilik lesen dan permit senjata api.

Katanya, pelaksanaan kad senjata ini membolehkan pelesen dan pemilik permit senjata api memperkenalkan identiti mereka dengan lebih mudah dan senang dibawa.

“Permohonan kad senjata boleh dilakukan di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh negara dan lesen didaftarkan dengan mengisi Borang 3A (Permohonan Kad Senjata) ketika permohonan pembaharuan lesen senjata api dilakukan.

“Borang boleh dimuat turun melalui laman sesawang PDRM www.gov.my/pelesenan,”katanya.

 

Sumber : Harian Metro

Share: